Language: EN | 中文 |

HUBUNGAN DIPLOMATIK MALAYSIA-CHINA RAIH PENCAPAIAN PENTING - TEO

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Malaysia dan China telah meraih pencapaian penting dalam setengah abad hubungan diplomatik, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata hubungan yang terjalin antara kedua-dua negara selama beberapa dekad telah menyaksikan kemajuan yang luar biasa terutama dalam perdagangan dan industri.

“Malaysia menjunjung hubungan antarabangsa, mengiktiraf bahawa rakan perdagangan kami memainkan komitmen penting dalam pembangunan dan pertumbuhan Malaysia. Kami komited untuk mengembangkan hubungan perdagangan dan menggalakkan pelaburan asing yang meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun kesembilan Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) dan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China di sini malam ini.

Menurut Teo perdagangan dua hala Malaysia-China melepasi AS$190 bilion (kira-kira RM890.2 bilion), peningkatan 950 kali ganda sejak 1974, memandangkan Malaysia merupakan anggota pertama ASEAN yang menjalin hubungan diplomatik dengan China pada 31 Mei 1974, dengan jumlah perdagangan dua hala kurang daripada AS$200 juta (kira-kira RM937 juta).

Beliau berkata peningkatan mendadak dalam perdagangan dua hala kepada kerjasama komprehensif, pragmatik dan dasar pengecualian visa bersama, telah menyebabkan purata peningkatan bulanan lebih daripada 250,000 pelancong China ke Malaysia.

 

“Susulan pelaksanaan pengecualian visa bersama, jumlah pelancong dari China ke Malaysia telah meningkat dengan ketara. Dengan sebanyak 5.8 juta pelancong pada suku pertama 2024, kami telah menyaksikan pertumbuhan luar biasa sebanyak 32.5 peratus berbanding 4.3 juta pelancong bagi tempoh sama tahun lepas,” katanya.

Menurut Teo, Malaysia juga akan memperluas kemudahan sistem pagar automatik bagi pelepasan imigresen bermula 1 Jun ini bagi melancarkan proses ketibaan pelancong ke negara ini dan China merupakan antara negara termasuk dalam inisiatif berkenaan.

Beliau turut mengetengahkan prestasi ekonomi Malaysia dengan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang 4.2 peratus pada suku pertama 2024, mengatasi unjuran awal.

"Kerajaan Malaysia optimis berkenaan hala tuju ekonomi, dengan sasaran pertumbuhan antara empat hingga lima peratus tahun ini,” katanya.

Teo dalam pada itu turut menekankan tentang peluang besar bagi Malaysia dan China untuk menjalinkan kerjasama selanjutnya.

“Dalam perjalanan menuju kemakmuran bersama, kami mengiktiraf China sebagai sahabat dan rakan yang boleh dipercayai. Kami berazam untuk memperkukuh hubungan dengan China atas situasi sama menang, memastikan ia memenuhi kepentingan kedua-dua negara,” katanya. 

Hadir sama pada majlis itu Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing dan Presiden PUCM Datuk Keith Li.

Terdahulu, Teo turut merasmikan Pameran Perdagangan dan Kebudayaan Industri Pintar China (CSITE 2024) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, yang menghimpunkan hampir 100 syarikat dari Malaysia, China dan Singapura meliputi bidang seperti teknologi pintar, industri, budaya dan pendidikan.

-- BERNAMA

Share: