DUBAI, 5 Dis – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) sedang menaik taraf Sistem Penjejakan Atribut Hijau Malaysia (MGATS) yang sedia ada untuk menjadi platform dagangan komprehensif bagi Sijil Tenaga Diperbaharui (REC).

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata inisiatif itu akan dilakukan dengan kerjasama di antara TNBX Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), dan NRECC.

Platform berkenaan akan membolehkan pertukaran komersial REC di Malaysia, menyediakan perniagaan dengan pilihan untuk memenuhi komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) masing-masing.​

“Naik taraf ini akan memastikan kejelasan dan memudahkan transaksi yang cekap,” kata Nik Nazmi dalam ucaptamanya di Hari Tenaga di Pavilion Malaysia pada Persidangan ke-28 Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (COP28) di sini.

Menurut Nik Nazmi, Malaysia merancang untuk beralih ke arah amalan ekonomi dan gaya hidup mampan, memanfaatkan pendigitalan untuk memajukan cita-cita bersih sifarnya, menekankan komitmen Malaysia terhadap penjagaan alam sekitar.

“Bagaimanapun, sebarang peralihan mestilah adil dan saksama, serta berusaha untuk mengimbangi aspek-aspek persaingan ‘trilemma’ tenaga yang memerlukan kita mengimbangi kemampanan, keselamatan dan kemampuan dalam sektor tenaga,” tambahnya.

Kesegeraan untuk peralihan Malaysia kepada tenaga mampan didorong oleh komitmen global, khususnya Perjanjian Paris dan keperluan untuk memperkukuh kepelbagaian ekonomi dan keselamatan tenaga, katanya.

“Usaha transformatif ini memerlukan pelaburan besar sebanyak RM637 bilion, dan Malaysia mempelawa kerjasama global untuk memimpin ke arah masa depan bersih sifar menjelang 2050,” tambahnya.

Nik Nazmi juga turut merasmikan prapelancaran Sidang Kemuncak Tenaga Lestari Antarabangsa (ISES) Keenam 2024, yang akan diadakan dari 20 hingga 21 Ogos, 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Bertemakan “Mempercepatkan Peralihan Tenaga Melalui Inovasi,” sidang kemuncak itu tepat pada masanya dan menggariskan komitmen Malaysia pada COP28 untuk mempercepatkan peralihan global ke arah tenaga mampan melalui pendekatan yang inovatif.

“Memandangkan momentum global ke arah penyelesaian tenaga yang lebih bersih dan cekap, inovasi memainkan peranan penting dalam mempercepatkan peralihan tenaga kritikal ini,” kata Nik Nazmi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here