PUTRAJAYA, 5 Sept – Malaysia mempertimbangkan untuk mengguna pakai rangka kerja kawal selia platform digital sebagaimana yang dilaksanakan di Australia dan Kanada, ,menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan MCMC telah berbincang dengan platform dalam talian utama seperti Meta dan Google bagi mewujudkan rangka kerja pelesenan dan kawal selia.
Menurut MCMC, susulan kelulusan Mandatory News Media Bargaining Code oleh Australia yang merupakan yang pertama di dunia, Google dan Meta telah membuat perjanjian pampasan sukarela dengan saluran-saluran berita sebagai contoh berhubung kepentingan pampasan yang adil.
Begitu juga dengan Rang Undang-Undang C-11 Kanada yang bertujuan mengawal selia platform penstriman dan yang menggalakkan sokongan terhadap kandungan berkaitan Kanada.
“Mencontohi kedua-dua negara iaitu Australia dan Kanada, penglibatan KKD dan MCMC dengan platform dalam talian menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi dalam menangani cabaran pasaran digital.
“Antara cabaran yang dihadapi adalah ketidakseimbangan dalam Perbelanjaan Pengiklanan (ADEX) antara platform digital dan media tempatan bagi memastikan pampasan yang adil untuk pencipta kandungan berita,” menurut MCMC.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena perbincangan KKD dan MCMC bersama Meta dan Google bagi menangani cabaran media dalam talian di Cyberjaya semalam yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh.
Mengakui kepentingan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), MCMC memaklumkan KKD dan suruhanjaya itu menyasarkan untuk melaksanakan peraturan serta amalan yang adil dan bijak.
“Ini termasuk perancangan untuk menggalakkan persaingan yang adil, mengukuhkan hak harta intelek, melindungi pengguna daripada kandungan memudaratkan dalam talian serta menjaga privasi pengguna,” katanya.
KKD dan MCMC komited untuk memupuk persekitaran di mana platform digital beroperasi secara adil dan bertanggungjawab demi kepentingan awam terutama ketika Malaysia melakar perjalanannya dalam era digital.
Mengenai perbincangan semalam, MCMC memaklumkan antara cabaran yang dihadapi platform dalam talian adalah penyebaran kandungan memudaratkan berkaitan penderaan seksual kanak-kanak, perjudian dalam talian dan kandungan yang menyentuh iaitu race (bangsa), religion (agama) dan royalty (3R).
Cabaran lain adalah penipuan dan pancingan data, penjualan serta promosi bahan terlarang seperti dadah, penyamaran, serta penyebaran maklumat dan berita palsu.
TikTok juga dijadualkan untuk bertemu dengan MCMC bagi membincangkan isu cabaran media dalam talian, menurut MCMC.